Nahar Tajri
PIHAK pendakwaan dalam hujahan akhir perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam menyangkal dakwaan bahawa Ahli Parlimen Bagan Datuk itu melalui pendakwaan terpilih bersifat politik.
Timbalan Pendakwa Raya Zander Alif Wai Keong, turut menyangkal bahawa pihak pendakwaan telah bertindak secara tidak adil, bias dan melakukan pendakwaan terpilih terhadap tertuduh.
“Persoalan yang perlu dipertimbangkan oleh mahkamah sama ada hak tertuduh terhadap perbicaraan yang adil telah dilanggar atau tidak.
“Tiada diskriminasi, tertuduh diberikan hak prosedur yang sama untuk pelepasan dan pembelaan sama seperti tertuduh lain dalam perbicaraan jenayah tanpa diskriminasi,” katanya ketika berhujah dihadapan Hakim, Datuk Mohd Yazid Mustafa.
Bagaimanapun sepanjang pemeriksaan balas peringkat pembelaan, saksi ke 17 pendakwaan mendedahkan ramai lagi nama nama besar dalam arena politik Tanah air namun tidak menghadapi sebarang pendakwaan.
Antara nama-nama yang didedahkan termasuklah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan seorang lagi bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu.
Suapan itu bagi melanjutkan kontrak UKSB sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan Visa Luar Negara (VLN) serta mengekalkan kontrak pembekalan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri.
Bagi tujuh lagi pertuduhan, bekas Timbalan Perdana Menteri itu didakwa mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1.15 juta, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan tugas rasminya ketika itu.
Ahmad Zahid didakwa melakukan semua kesalahan berkenaan di Sri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018. – Malaysiapost

