MEMILUKAN apabila sebuah keluarga termasuk bayi berusia 21 hari menerima nasib malang diusir dari rumah didiami dipercayai berpunca daripada konflik keluarga yang serius.
Perkara itu didedahkan Skuad Jejak Asnaf Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang menerima laporan mengenainya daripada Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur (PTGKL).

MAIWP dalam satu perkongsian di laman Facebook rasminya, memaklumkan selain bayi berusia 21 hari itu, ibu kepada bayi berkenaan juga dilihat masih lemah kerana belum tamat tempoh berpantang.
Menurut MAIWP, ketua keluarga tersebut yang dikenali sebagai Asri tiada pilihan lain selain membawa isteri dan tiga anak kecilnya keluar daripada rumah.
“Skuad Jejak Asnaf MAIWP menerima laporan terdapat keluarga yang kehilangan tempat tinggal setelah diusir keluar daripada rumah.
“Apa yang memilukan MAIWP adalah salah seorang daripada keluarga ini adalah seorang bayi yang baru sahaja berusia 21 hari sementara si ibu dilihat masih lemah kerana belum tamat tempoh berpantang.
“Keluarga berkenaan tidak mengetahui arah tujuan dan secara tidak sengaja tiba di PTGKL untuk mencari tempat berteduh,” katanya.

Menurut MAIWP, selepas menerima laporan daripada PTGKL, Skuad Jejak Asnaf terus bertindak dengan menempatkan keluarga ini di Anjung Singgah memandangkan penempatan PTGKL tidak sesuai untuk keluarga menginap.
Jelasnya, keadaan sedikit sukar apabila ketua keluarga itu baru sahaja mendapat pekerjaan sebagai seorang mekanik dan belum menerima gaji pertama.
“Berbekalkan dengan sumber kewangan yang terhad, tidak banyak tindakan yang dapat dibuat oleh si suami selain meraih bantuan.
“MAIWP dan Anjung Singgah di bawah kelolaan Yayasan Kebajikan Negara akan bekerjasama untuk mencari jalan bagi membantu keluarga ini secepat mungkin,” katanya. – Malaysiapost

