FESTIVAL Bunga dan Taman Diraja Putrajaya (Floria Diraja Putrajaya) 2022 dilanjutkan lagi sempena cuti persekolahan iaitu sehingga 11 September ini.
Perkara itu diumumkan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dalam ucapannya di majlis penutup Floria Diraja Putrajaya 2022, hari ini.
Beliau turut mengisytiharkan Bunga Raya atau Hibiscus rosa-sinensis sebagai bunga rasmi bagi Putrajaya dan Wilayah Persekutuan.
“Saya juga mengumumkan bahawa Floria Diraja Putrajaya 2022 disambung sehingga Ahad ini (11 September 2022) secara percuma,” katanya.
Shahidan berkata, festival yang telah disempurnakan perasmiannya oleh Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada 29 Ogos 2022 lalu telah berlangsung dengan jayanya dan lanjutan dibuat susulan sambutan menggalakkan dan mengambil kira cuti sekolah.
“Floria Diraja Putrajaya 2022 telah mencatatkan sejarahnya yang tersendiri dengan kemunculan beberapa ikon baharu yang bakal menjadi ciri-ciri bersinonim dengan acara ini seperti Gemerlapan FLORIA, Dinding Mural, Dinding Dekorasi Orkid, Terowong Oncidium, dan Tribute to Frontliners.
“Kreativiti dan inovasi Taman Keluarga Malaysia yang diperkenalkan buat julung kalinya juga menarik minat rakyat untuk menghargai keindahan landskap dan alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata, walaupun hanya lapan negara luar yang menyertainya ekoran pandemik yang masih melanda dunia, namun beliau difahamkan ramai peserta luar negara telah pun menyuarakan hasrat mereka untuk menyertai penganjuran seterusnya.
“Ini adalah berita baik dalam menyokong usaha yang diambil oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dan Perbadanan Putrajaya untuk meletakkan jenama Floria Diraja Putrajaya 2022 ini di peta festival taman dan bunga-bungaan sedunia.
“Ini kerana, Floria Diraja Putrajaya bukan sahaja suatu pameran bunga-bungaan hidup semata-mata, malah ia merupakan satu festival yang dapat mewujudkan peluang-peluang ekonomi dan perniagaan kepada para usahawan.
“Sekali gus merangsang pertumbuhan industri bunga-bungaan, landskap dan juga pelancongan negara,” katanya.
Shahidan berkata, Floria Diraja Putrajaya adalah jenama terbaik bagi mengangkat nama Putrajaya ke pentas antarabangsa, dan terus dikenali sebagai antara lokasi penganjuran terbaik festival bunga dan taman di dunia.
“Jadi, amat wajarlah sekiranya festival ini diteruskan penganjurannya setiap tahun.
“Selamat berjumpa lagi di Floria Diraja Putrajaya 2023 dengan Tema Bunga Petunia,” katanya. – Malaysiapost

