KDN selesaikan isu laluan pejalan kaki di Kompleks ICQs Padang Besar

0
2

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti semula isu penutupan jejantas pejalan kaki menghubungkan Stesen Kereta Api Tanah Melayu (KTMB) Padang Besar dengan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQs) Padang Besar yang telah ditutup bermula 1 Ogos 2020.

Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata laluan berkenaan sebelum ini sering digunakan orang awam sebagai laluan pintas untuk ke Arked Niaga Padang Besar.

Beliau berkata, bagaimanapun ia menimbulkan ancaman keselamatan, kerana Kompleks ICQs Padang Besar adalah Kawasan Larangan dan Tempat Terlarang (KLTL) yang diwartakan di bawah kategori Sasaran Penting Keutamaan 1 (SP1).

“Sebarang aktiviti lain yang tidak berkaitan adalah dilarang sama sekali di kawasan berkenaan.

“Penutupan tersebut telah menimbulkan rungutan orang awam kerana terpaksa menggunakan laluan lain sejauh lebih lima kilometer berbanding 600 meter sekiranya menggunakan jejantas tersebut,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau melawat Kompleks ICQs Padang Besar, semalam bagi meninjau sendiri salah satu pintu masuk darat utama yang menghubungkan antara Malaysia dan Thailand serta meneliti semula isu penutupan jejantas pejalan kaki berkenaan.

Hamzah berkata, berdasarkan perbincangan satu laluan pejalan kaki berpagar berhampiran kompleks berkenaan akan dibina bagi kemudahan orang ramai.

“Justeru, Kerajaan Negeri Perlis dan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) bersetuju untuk membina satu laluan berpagar yang akan dibina dari jejantas asal hingga ke luar kawasan ICQs.

“Ini bagi membolehkan pergerakan orang ramai tidak menjejaskan perkhidmatan dan keselamatan di Kompleks ICQs,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here