Wang sumbangan politik tidak pernah dibayar kepada Umno – Pendakwaan

0
2

MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menerima suapan untuk dirinya sendiri.

Dalam hujah di akhir kes pendakwaan, Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Abdul Malik Ayob berkata, sumbangan diserahkan oleh pegawai Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu adalah secara peribadi dan tidak pernah dibayar ke dalam akaun Umno walaupun ia dikatakan untuk sumbangan politik.

“Walaupun pihak pembelaan berkata wang itu adalah sumbangan politik, ia tidak dibayar kepada parti politiknya.

“UKSB juga tidak pernah membayar wang itu ke dalam akaun Umno atau menerima resit daripada pembayaran itu. Tertuduh juga tidak pernah menolak atau menyerahkan wang itu semula apabila wang berkenaan diserahkan kepadanya,” katanya.

Abdul Malik menjelaskan, keterangan tiga saksi utama termasuk dua bekas Pengarah UKSB, iaitu Harry Lee Vui Khiun dan Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani, serta Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun, yang merupakan saksi ke-15, ke-16 dan ke-17 pendakwaan, adalah konsisten berhubung penyerahan wang itu kepada Ahmad Zahid.

“Vui Khiun dan Wan Quoris Shah bersetuju ketika memberi keterangan bahawa tertuduh tidak pernah menyatakan jumlah wang yang akan disumbangkan, hanya tertuduh menyatakan bahawa sumbangan itu mesti dibuat secara tunai dan dalam mata wang dolar Singapura.

“Mereka juga bersetuju penghantaran wang itu dilakukan di Country Heights, Kajang, atau Sri Satria, Putrajaya, dan penyerahan dilakukan pada waktu malam selepas jam 10 malam.

“Mereka juga dapat menggambarkan kediaman peribadi atau rasmi tertuduh yang penghantaran dilakukan di kediaman itu,” katanya.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan Visa Luar Negara (VLN) serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Presiden Umno itu didakwa mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1.15 juta, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau ketika itu.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu didakwa melakukan semua kesalahan berkenaan di Sri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here