AHLI Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata hasrat Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk bertanding di kerusi Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah wajar.
Beliau bagaimanapun turut berharap Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin untuk terus bertanding di Parlimen kerana usaha dan tenaga orang muda amat diperlukan.
“Sewajarnya, @tokmatn9 perlu bertanding di kerusi parlimen. Pada masa sama, YB @Khairykj, orang muda secara umumnya harus diberikan peluang untuk terus bertanding dan dapat berkhidmat untuk negara,” katanya menerusi Twitter.
Terdahulu, Khairy semalam mengesahkan beliau tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Rembau pada PRU15.
Khairy yang juga Menteri Kesihatan berkata ia berikutan beliau telah diminta untuk memberikan laluan kepada Mohamad Hasan yang berhasrat untuk bertanding di kerusi berkenaan. – Malaysiapost

