PENDEDAHAN bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dalam temubual eksklusifnya dengan sebuah portal mengenai kes SRC International Sdn Bhd (SRC) amat mengejutkan, kata Datuk Zaid Ibrahim.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, dalam pendedahan tersebut di awal perbicaraan Tommy menyatakan perlunya mereka bagi pihak pendakwa mendapatkan peguam ternama berikutan kes itu sangat rumit.
“Sebab itu Tommy ambil Datuk Seri Gopal Sri Ram dan Datuk V Sithambaram untuk mengetuai pasukan pendakwa atas alasan kes yang mereka hadapi ini agak susah dan sulit.
“Padahal, Pejabat Peguam Negara mempunyai beribu peguam tetapi tidak digunakan sebaliknya mereka ambil peguam swasta.
“Alasannya, kes itu rumit kerana banyak dokumen yang perlu dikaji dan transaksi-transaksi dokumen yang ada di sekeliling kes itu juga perlu diteliti,” katanya dalam satu rakaman video di laman Facebooknya, hari ini.
Zaid yang juga peguam bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau akan meneliti semua siri percakapan Tommy itu dan akan cuba memberi jawapan serta penjelasan setakat yang mampu untuk pengetahuan masyarakat.
Jelasnya, disebabkan kes yang rumit dan banyak dokumen perlu dikaji sebagaimana disahkan oleh Tommy, beliau yang mewakili Najib cuba meyakinkan mahkamah untuk mengkaji semula semua dokumen berkenaan.
“Namun permohonan kami ditolak dengan alasan kes itu tidak rumit dan tidak susah tetapi di pihak pendakwa hendak memilih peguam dibenarkan dengan alasan kes itu rumit dan susah.
“Jadi, inilah yang kami peguam Najib cuba meyakinkan mahkamah hari itu, kita perlu masa untuk mengkaji kerana kita mengambil kes itu di saat akhir atas sebab tertentu. Tetapi mereka tolak, mereka tidak percaya.
“Dalam hal ini, saya berterima kasih kepada Tommy kerana mengakui kes itu rumit dan perlu mengkaji semua dokumen kes,” katanya.
Sementara itu, Zaid berkata, Tommy juga menjelaskan, pihaknya (pendakwa raya) memerlukan peguam terbaik untuk mengendalikan pendakwaan kes itu dan memilih Gopal serta Sithambaram.
Menurutnya, pihak pembelaan turut membuat hujah sama namun sebaliknya mereka menyatakan kes itu mudah dan ramai peguam lain ada, tidak perlu menggunakan khidmat peguam dari luar negara.
“Inilah double standard (pilih kasih) yang saya hendak katakan. Inilah hipokrit yang kuno. Kumpulan inilah yang merosakkan pengadilan dalam kes ini.
“Apabila sampai masa untuk kepentingan mereka, mereka kata mereka perlukan peguam (pendakwa) yang terbaik, konon kes ini rumit dan sebagainya.
“Tetapi bila Najib hendak guna peguam luar negara, mereka kata tidak boleh peguam dari England, peguam di sini (tempatan) pun ada dan kes ini tidak susah,” katanya. – Malaysiapost

