Dua remaja mengaku salah lastik warga emas

0
4
Dua remaja buli warga emas

DUA lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Bachok di Kelantan hari ini, atas tuduhan melastik seorang warga emas sehingga cedera, Khamis lalu.

Mohammad Roslan Abdullah, 18, dan Muhammad Aziman Peli, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Mohd Dinie Shazwan Ab Shukor, lapor Astro Awani.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Wan Bidah Wan Deraman, 67, dengan cara melastik pada bahagian tangan kirinya.

Kesalahan itu dilakukan kedua-dua tertuduh di persimpangan jalan di Kampung Banggol Pauh, kira-kira 8.10 malam, Khamis lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mohd Dinie Shazwan memerintahkan kedua-dua tertuduh membayar jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin, selain menetapkan Jabatan Kebajikan Masyarakat hadir ke rumah keluarga Muhammad Roslan bagi melengkapkan laporan sosial.

Mahkamah menetapkan 5 November depan untuk menjatuhkan hukuman terhadap kedua-dua tertuduh.

Sebelum ini, tular video berdu­rasi 30 saat di laman sosial memaparkan sekumpulan remaja lelaki mengganggu dan membuli seorang wanita warga emas.

Polis kemudian menahan empat remaja berusia 15 hingga 18 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut selepas mereka menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok. – Malaysiapost