Nurul Huda Abhar
KERAJAAN sentiasa berusaha membendung penularan Covid-19 di negara ini, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau juga mengakui lebih 90 peratus peningkatan kes positif Covid-19 pada masa ini, bermula dari penularan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan di dalam penjara di Kedah.
“Saya faham dan ambil maklum rakyat masih risau. Kita faham akan kebimbangan itu.
“Sebab itu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang berusaha sedaya upaya merangka pelbagai strategi bagi menyekat penularan wabak ini dalam kadar segera,” katanya ketika sidang media khas khas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.
Ismail Sabri berkata, beliau turut mengambil kira setiap pendapat dan keresahan yang dilontar rakyat di medium media sosial berkaitan dengan peningkatan kes Covid-19 yang mendadak.
Beliau juga mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan rakyat kepada negara dalam menghadapi situasi pandemik ini.
“Di pihak kerajaan, percayalah kita sentiasa berusaha untuk membendung wabak ini. Kita pernah berjaya melandaikan lengkung wabak ini.
“Sehingga kita diiktiraf antara lima negara terbaik dunia dalam usaha memerangi Covid-19 ini.
“Jika kita pernah berjaya, kita pasti akan berjaya. Yang penting rakyat, pemimpin dan semua bekerjasama. -Malaysiapost

