Hanya pemimpin Umno boleh bercakap untuk Umno

0
2

KETUA Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan, mengingatkan kepimpinan Pas supaya tidak bercakap bagi pihak Umno mengenai sebarang keputusan parti itu.

Menurutnya, sebarang keputusan besar bagi Umno akan melalui keputusan musyawarah kepimpinan, membabitkan ‘Top 5’ atau Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

“Yang boleh bercakap untuk Umno tentulah pemimpin Umno; bukannya Pas. Jadi Presiden Umno lah yang boleh bercakap bagi pihak Umno.

“Takkan Presiden Pas pula lebih arif hal Umno dan mengajar ahli Umno. Itu bukan kerja kawan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengesahkan rundingan dengan Umno masih berjalan walaupun pemimpin tertinggi parti itu sudah beberapa kali menegaskan tiada kerjasama dengan Pas.

Abdul Hadi menegaskan rundingan tersebut tidak melibatkan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan mendakwa pendirian Ahmad Zahid menolak kerjasama dengan Pas adalah pendirian peribadi yang bukan kehendak akar umbi.

Shahril menegaskan Umno tidak mencari musuh, tetapi seakan dimusuhi termasuk oleh individu-individu tertentu dalam Pas.

“Sebarang usaha untuk cuba pecahkan Umno dengan dakwaan kononnya Presiden keseorangan dan tidak mewakili parti, akan gagal,” katanya.

Beliau turut menyenaraikan beberapa laporan media yang memetik kenyataan pemimpin Pas sepanjang tempoh Januari hingga Ogos lalu.

“Sejak PAU2020 (Perhimpunan Agung Umno 2020) lagi, Umno sudah berusaha untuk teruskan kerjasama dengan Pas. Sehingga pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, permintaan Umno hanya untuk Pas menggunakan logo sendiri.

“Namun sejak kebelakangan ini, balasan Pas terhadap Umno ialah begini,” katanya sambil merujuk 10 tajuk laporan media yang disenaraikan beliau. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here