Jangan jadikan masjid gelanggang politik – Agong

0
3

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya masjid dijadikan sebuah institusi yang menerajui kebaikan, pusat kegiatan umat Islam, malah sebagai lilin yang menyinari masyarakat setempat.

Baginda bertitah, supaya masjid tidak dijadikan sebagai tempat untuk mencerca sesama umat, bertelingkah dan gelanggang politik.

Dalam satu hantaran di laman Facebook Istana Negara, hari ini, Seri Paduka bertitah, bahawa masjid bukan hanya sekadar berperanan sebagai sebuah pusat untuk beribadah.

Menurut Baginda, masjid dapat dikembangkan dengan pelbagai fungsi lain termasuk pusat aktiviti ekonomi, kesukanan, persatuan, pembelajaran dan kemasyarakatan.

“Seri Paduka Baginda turut bertitah supaya pengurusan masjid membabitkan masyarakat bukan Islam, agar mereka lebih rapat dengan penganut agama Islam dan turut memahami agama Islam.

“Selain lebih giat memikat golongan pemuda serta remaja untuk turut terbabit dalam mengimarahkan masjid,” menurut hantaran itu.

Terdahulu Baginda berkenan berangkat menyempurnakan majlis perasmian Masjid Tun Abdul Razak di Jengka, Maran, Pahang hari ini sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang Ke-63.

Turut berangkat Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Pada majlis tersebut, Seri Paduka Baginda berkenaan merasmikan dan memasyhurkan masjid berkenaan dengan nama Masjid Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sebelum menandatangani papan tanda perasmian masjid itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here