PAS tak putus asa, usaha runding dengan Umno hingga detik akhir

0
2
KOTA BHARU 25 APRIL 2018. Calon PAS P022 Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari di majlis pengisytiharan calon PAS Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) yang menampilkan 21 muka baru daripada 59 calon di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV). NSTP/SYAMSI SUHAIMI

PAS tidak akan berputus asa dan bertekad mengusahakan rundingan dengan Umno bagi “menyelamatkan” negara daripada Pakatan Harapan (PH) meskipun terpaksa menunggu ke detik paling akhir.

Malah langkah tersebut dinilai Pemuda PAS sebagai “wajib” agar dilaksanakan.

Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, perkara itu menjadi kewajipan kepada PAS untuk mengusahakan kerjasama bersama Umno menjadi kenyataan.

Katanya, Muafakat Nasional (MN) tidak pernah mati dan tiada mana-mana pihak yang ‘mentalkin’ permuafakatan dimeterai Umno dan PAS itu.

“Kami di pihak PAS sentiasa sebut, rundingan untuk menyelamatkan negara daripada PH wajib untuk diteruskan.

“Mungkin akan ditanya: sampai bila? Jawapannya ialah sampai ke hari penamaan calon,” katanya pada sidang media di Muktamar PAS 2022 di Alor Setar hari ini.

Ditanya cadangan “kerusi MN” yang sebelum ini pernah dibangkitkan pemimpin PAS, Ahmad Fadhli berkata, rundingan juga akan diteruskan dengan Umno.

Menurutnya, ia membabitkan antara 20 hingga 27 kerusi PH yang dilihat berpotensi untuk dimenangi oleh Umno atau PAS jika kedua-dua parti tidak bertembung antara satu sama lain.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, kerusi tersebut akan dimenangi oleh PH jika Umno dan PAS tidak mewujudkan persefahaman mengenainya.

Bagaimanapun, Ahmad Fadhli tidak menyatakan kerusi mana yang disasarkan.

“Sudah tentu tidak di negeri yang tidak dimenangi PH. Contohnya di Terengganu dan Kelantan,” katanya

Terdahulu, pada 12 Ogos lalu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Mohd Zuhdi Marsuki mencadangkan penubuhan “kerusi MN” bersama Umno selepas mendapati PH berpotensi besar memenangi PRU15. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here