Kerjasama Pas hanya satu bentuk kerjasama politik dangkal – Ahmad Zahid

0
1

KUNCI kejayaan dan kestabilan politik Muafakat Nasional (MN) adalah kepercayaan, namun ia dirobek oleh Pas apabila memilih untuk menganggotai Perikatan Nasional (PN), tegas Presiden Umno Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, tindakan Pas memilih untuk bersama Bersatu itu sekaligus menenggelamkan momentum kerjasama yang dibina bersama Umno melalui MN.

“Bagaimanakah kestabilan, keyakinan dan kerjasama yang kukuh dapat terjalin sekiranya perkara paling asas iaitu prinsip dan kepercayaan diabaikan?

“Lebih lagi dengan parti yang sememangnya jelas ingin menghancurkan Umno dari luar dan dari dalam,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Ahmad Zahid mengulas mengenai kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, semalam yang menyatakan bahawa Pas tidak pernah mengisytiharkan pembubaran MN.

Menurutnya, kerjasama yang Pas sampaikan hanya satu bentuk kerjasama politik dangkal yang tidak mengambil kira keperluan rakyat sebagaimana semangat MN yang sebenar.

“Hanya dengan kembali kepada kerjasama asal, barulah keikhlasan Pas dapat dilihat.

“Kini Umno perlu bergerak ke depan, parti sudah membuat keputusan bergerak secara solo akibat tindak tanduk dan sikap Pas sendiri.

“Tak perlu sedu sedan apabila Pas sendiri sentiasa main selamat dan ‘mandi’ dalam beberapa kolam. Inilah realiti politik yang perlu kita hadapi,” tegasnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here