Kerajaan Selangor laksana rombakan Exco

0
2
SHAH ALAM, 13 Julai -- Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari (kanan) mengadakan sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2020 di Bangunan Dewan Negeri Selangor hari ini. Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Fitri Nizam

KERAJAAN Selangor membuat rombakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) susulan pelantikan dua ahli baharu pada 17 September lalu, yang berkuatkuasa serta merta.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata, sebanyak lima portfolio baharu diperkenalkan selaras dengan keperluan semasa negeri Selangor iaitu Pembudayaan Inovasi dan Smart Selangor; Pengurusan Bencana; Pemberdayaan Pekerja; Perpaduan dan Industri Halal.

Beliau berkata, dua portfolio sedia ada dijenamakan semula bagi tujuan cakupan yang lebih meluas, iaitu Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kesejahteraan Bandar dan Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam.

“Sehubungan dengan itu, sukacita saya mengumumkan portfolio bagi dua Ahli MMKN Selangor yang baharu adalah Borhan Aman Shah selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar dan Kampung Tradisi, Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan dan Warisan.

“Seorang lagi, Mohd Zawawi Ahmad Mughni selaku Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, rombakan kecil turut membabitkan beberapa Ahli MMKN sedia ada, iaitu Rodziah Ismail selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kesejahteraan Bandar serta Pembangunan Usahawan; Hee Loy Sian selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asal dan V Ganabatirau memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Sosio-ekonomi, Kebajikan Masyarakat dan Pemberdayaan Pekerja.

“Kedudukan portfolio Ahli-ahli MMKN lain adalah dikekalkan.

“Harapan saya agar penstrukturan ini dapat memanfaatkan seluruh warga Selangor melalui khidmat bakti terbaik ke arah merealisasikan agenda Selangor Maju Bersama,” katanya. -Malaysiapost