Peniaga rugi RM28,000 akibat ditipu

0
2

SEORANG peniaga kerugian RM28,000 selepas wang dalam akaun banknya lesap akibat terperdaya dengan taktik penipuan panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai mahkamah.

Lelaki berusia 27 tahun itu telah dihubungi oleh suspek iaitu seorang lelaki yang mengaku sebagai pegawai mahkamah pada 30 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid, berkata Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara menerima laporan daripada mangsa semalam.

Beliau berkata, mangsa diperdayakan suspek yang mengatakan nombor kad pengenalannya digunakan oleh seseorang untuk mendaftarkan sebuah syarikat di Melaka dan syarikat berkenaan telah disenarai hitam.

“Mangsa menafikan ada memberikan nombor kad pengenalan miliknya kepada individu lain, lalu suspek menawarkan untuk menyelesaikan masalah mangsa dengan bayaran sebanyak RM20,000.

“Suspek mengatakan wang itu akan masuk semula ke akaun milik mangsa selepas selesai urusan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, suspek kemudian meminta mangsa memuat naik satu aplikasi kononnya aplikasi Bank Negara Malaysia dan bertanyakan jumlah akaun bank dimiliki mangsa serta jumlah wang di dalam akaun berkenaan.

“Mangsa telah memberitahu semua perincian dan mengisi aplikasi diberikan dengan memasukkan maklumat seperti nombor pin serta 16 digit nombor kad akaun banknya.

“Akibat kejadian itu, wang dalam akaun bank mangsa telah berkurangan sebanyak RM28,000 dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Rupiah mengingatkan orang ramai supaya membuat semakan nombor telefon dan nombor akaun yang diragui di laman web Semak Mule bagi mengelakkan diri menjadi mangsa penipuan.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa berhubung dengan pihak bank sekiranya menerima panggilan telefon dari pihak-pihak yang tidak dikenali dan bertanyakan mengenai akaun bank,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here