UMNO tetap mempertahankan keputusan untuk menyaman Malaysiakini meskipun portal itu berkeras menafikan laporan “Kata dua Umno buat PM: Bubar Parlimen atau dipecat’ berunsur fitnah sebaliknya dari sumber dalaman parti itu.
Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pihaknya bertegas dengan perkara tersebut sekali gus memberi amaran supaya suatu berita itu perlu diselidik sebelum disiarkan agar tidak menimbulkan fitnah.
“Baguslah Malaysiakini pertahankan laporan kononnya ‘Kata Dua Umno buat PM: Bubar Parlimen atau Dipecat” berasaskan ‘Sumber Dalaman’. Kita jumpa di Mahkamah!” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Sementara itu, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyokong tindakan yang diambil itu sebagai mempertahankan maruah parti.
“Syabas Pemuda Umno! Pertahan maruah parti elak fitnah demi fitnah dilemparkan,” katanya menerusi Facebook.
Terdahulu, Malaysiakini mempertahankan laporan berhubung hal ehwal dalaman Umno yang didakwa parti itu melalui surat tuntutan (LOD) sebagai berunsur fitnah.
Selain Malaysiakini, LOD itu turut dihantar kepada Astro Awani.
Ketua Pengarang Malaysiakini, Steven Gan berkata pihaknya akan menjawab LOD berkenaan. – Malaysiapost

