PDRM sahkan 2 pegawainya ditahan SPRM

0
3

Fitri Nizam

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan dua pegawai kanan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata pihaknya masih belum menerima laporan lengkap dari SPRM berhubung penahanan dua pegawai kanan itu.

“Kita masih menunggu sama ada dua pegawai itu ditahan atas kes cuci duit yang sedang disiasat oleh SPRM sekarang ataupun kes lain.

“Sehingga menunggu dan menerima laporan dari SPRM, saya tidak boleh ulas kerana siasatan dijalankan SPRM ketika ini,” katanya pada sidang media hari ini.

Acryl Sani berkata, SPRM akan memaklumkan kepada Bukit Aman mengenai perkembangan kes tersebut dalam masa terdekat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan polis.

Beliau berkata, pihaknya telah memulakan siasatan dalaman berhubung dakwaan pihak tertentu mengenai pembabitan pegawai polis dalam sindiket `cuci duit’ yang dikaitkan dengan perniagaan artis popular tempatan yang sebelum ini turut disiasat SPRM.

Justeru, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman diberi tanggungjawab untuk menyiasat perkara itu.

“Kita tunggu sahaja hasil laporan JIPS nanti sebelum memikirkan tindakan lanjut PDRM dalam kes ini,” katanya. – Malaysiapost