DATUK Lokman Noor Adam menuntut Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno mengambil tindakan disiplin terhadap Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob yang juga Perdana Menteri.
Bekas MKT Umno itu, berkata tuntutan itu dibuat susulan pendedahan perjanjian bocor membabitkan Ismail Sabri dengan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Lokman berkata, sebelum ini Blogger Raja Petra Kamarudin pernah mendedahkan perjanjian tersebut tetapi tidak lengkap kerana perjanjian nombor tujuh, lapan dan sembilan tidak didedahkan.
Katanya, perjanjian nombor tujuh antara kedua-dua pemimpin itu adalah Ismail Sabri berjanji untuk tidak menukar peguam negara.
“Ini adalah sangat salah, bagaimana dia boleh adakan perjanjian dengan pihak ketiga untuk menguruskan negara,”katanya seperti dilaporkan portal Malakat Tribune.
Beliau berkata, Ismail Sabri turut berjanji untuk mengekalkan Menteri Kabinet, Timbalan Menteri Kabinet dan juga jawatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dipegang oleh Bersatu dan PAS.
Selain itu, katanya, Ismail Sabri berjanji untuk menyegerakan kes mahkamah membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi.
“Ini ada dalam perjanjian dan ini adalah bukti jelas beliau telah mencampuri urusan mahkamah dan Jabatan Peguam Negara.
“Itu sebab tiada sebarang tindakan diambil terhadap Nazlan (Hakim Mahkamah Tinggi bagi kes Najib) yang pihak SPRM dah sediakan kertas siasatan,” katanya. – Malaysiapost

