PRK Batu Sapi: Beri laluan Warisan menang tanpa bertanding – Kit Siang

0
2

PENASIHAT DAP, Lim Kit Siang menyokong cadangan supaya semua parti politik tidak bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Batu Sapi dan memberi laluan kepada calon Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk menang tanpa bertanding.

Cadangan itu dikemukakan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan Majlis Peguam, Andrew Khoo berikutan situasi semasa penularan Covid-19.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata beliau setuju cadangan itu demi kesihatan dan keselamatan pengundi di kawasan tersebut serta rakyat keseluruhannya.

“Dengan tidak bertanding di kerusi tersebut, tidak perlulah berlakunya kempen dan pengundian, yang besar kemungkinan akan membantu menghalang penularan Covid-19.

“Ini juga boleh menjadi satu cara untuk rakyat Malaysia, terutama di Sabah, untuk memberikan penghormatan kepada kehidupan dan segala usaha dan sumbangan mendiang Liew Vui Keong kepada negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Khoo sebelum ini dilaporkan berkata, kemenangan tanpa bertanding calon Warisan dalam PRK tersebut akan mengekalkan status quo sedia ada dalam Parlimen.

Khoo berkata, ahli politik kedua-dua pihak patut meletakkan perbezaan mereka buat sementara waktu untuk menunjukkan yang mereka peduli dengan peningkatan mendadak kes Covid-19.

Mengulas lanjut, Kit Siang berkata pilihan raya negeri (PRN) Sabah yang baru sahaja berlangsung telah memulakan gelombang ketiga penularan Covid-19 di Malaysia dan menjadikan Sabah snegeri utama terkesan.

Katanya, ia juga menyebabkan sempadan Sabah terpaksa ditutup antara 12 sehingga 25 Oktober, di mana perjalanan hanya dibenarkan atas sebab-sebab mustahak.

“Gelombang kedua Covid-19 telah disebabkan oleh Langkah Sheraton yang membawa kepada penubuhan kerajaan pintu belakang pada Mac lalu, manakala gelombang ketiga disebabkan ahli politik pintu belakang yang cuba membawa kepada kejatuhan kerajaan Sabah.

“Mari kita tunjukkan kepada dunia, yang pemimpin politik di Malaysia mampu belajar daripada kesilapan dan menjadi inspirasi serta tauladan baik untuk menggerakkan semua rakyat, tanpa mengira latar belakang parti politik, kepada usaha memenangi wabak Covid-19.

“Ini dengan cara bersetuju memberikan laluan kepada seorang calon daripada Warisan untuk menang tanpa bertanding dalam pilihan raya kecil Batu Sapi.

“Bola kini berada di dalam gelanggang Perikatan Nasional, Barisan Nasional, dan PBS.,” katanya. – Malaysiapost