PAKATAN Harapan (PH) memberi jaminan akan menghidupkan semula perkhidmatan Feri Pulau Pinang jika kembali menjadi kerajaan Persekutuan, kata Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.
“Sekiranya PH berjaya kembali ke Putrajaya dalam PRU15, kami akan pulihkan dan hidupkan kembali perkhidmatan Feri Pulau Pinang agar warisan kita dikekalkan selama-lamanya dan boleh dinikmati oleh anak cucu kita,” kata bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu menerusi hantaran di Facebooknya.
Menurut Guan Eng, perkhidmatan Feri Pulau Pinang dari Butterworth ke Georgetown memang menjadi tarikan dan kesayangan warga negeri itu dan rakyat Malaysia.
Tambahnya, ketika menjadi Menteri Kewangan, beliau telah memberikan peruntukan RM30 juta demi memastikan feri ikonik itu terus beroperasi.
“Malangnya perkhidmatan feri yang berusia lebih 100 tahun telahpun dihentikan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong tanpa hiraukan rayuan orang ramai.
“Rakyat harus menggunakan kuasa anda menghukum mereka yang menghentikan perkhidmatan feri bersejarah ini,” katanya. – Malaysiapost

