6 inisiatif diumum PM penghargaan kepada 1.6 juta penjawat awam

0
3

Adnan Mat

ENAM insentif baharu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempena Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-18 hari ini merupakan manifestasi penghargaan kerajaan kepada kira-kira 1.6 juta penjawat awam yang sentiasa menjadi barisan hadapan dalam meletakkan negara kembali pada landasan yang kukuh selepas pelbagai cabaran yang dihadapi.

CUEPACS memahami bahawa kerajaan mempunyai kekangan daripada sudut kewangan namun tetap cuba untuk mendengaar dan memberi yang terbaik kepada penjawat awam demi menghargai sumbangan yang dicurahkan penjawat awam selama ini.

Segala insentif yang diumumkan oleh kerajaan ini sekurang-kurangnya mampu memberi kelegaan kepada penjawat awam yang begitu terkesan dengan peningkatan kos sara hidup dan kenaikan inflasi.

Sebagai contoh pemberian Bantuan Khas Kewangan 2023 berjumlah RM700 kepada anggota Gred 56 ke bawah serta kenaikan gaji tahunan tambahan khas sebanyak RM100. Begitu juga dengan penambahbaikan pemberian pergerakan gaji tahunan kepada penjawat awam yang telah mencapai gaji maksimum.

Ketiga-tiga insentif ini adalah satu penghargaan yang wajar diberikan di atas pencapaian produktiviti disumbangkan penjawat awam kepada negara. Hal ini tidak wajar dinafikan atau dipertikaikan oleh pihak lain.

Sesuai dengan saranan Perdana Menteri, CUEPACS berharap setiap pejawat awam sentiasa menjaga produktiviti masing-masing agar ekonomi negara akan bertambah kukuh dan kerajaan lebih berupaya meningkatkan kebajikan kepada seluruh warga perkhidmatan awam.

Jadikan kepentingan rakyat sebagai keutamaan dalam setiap tanggungjawab yang digalas bagi memastikan negara terus mampu bergerak kehadapan menghadapi perubahan global yang mencabar.

Dalam pada itu komitmen kerajaan pimpinan Perdana Menteri untuk menyegerakan kajian ke atas Sistem Saraan Perkhidmatan Awam dengan mengambil kira keseluruhan aspek modal insan merangkumi saraan dan perkhidmatan amat dihargai serta ditagih oleh CUEPACS dan keseluruhan penjawat awam. Hal ini wajar dipercepatkan memandangkan sistem saraan sedia ada yang digunakan ketika ini telah dilaksanakan sejak tahun 2002 dan tidak lagi sesuai dengan suasana persekitaran ekonomi serta kos sara hidup semasa.

Perkara utama yang perlu diberikan perhatian dalam sistem saraan baharu ini adalah meningkatkan gaji minimum penjawat awam kepada RM1,800 sebulan seperti yang dituntut oleh CUEPACS.
.
Penulis ialah Presiden CUEPACS
(Tulisan ini dipetik sepenuhnya daripada kenyataan media beliau)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here