JABATAN Penjara Malaysia dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menandatangani nota kerjasama untuk penajaan Program Pengajian Diploma Keusahawanan.
Ia bagi memberi peluang kedua kepada 25 pesalah muda berpotensi dalam bidang akademik yang layak dari penjara seluruh Malaysia.
Yuran pengajian RM259,500 dibiayai sepenuhnya Pusat Wakaf Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah UPSI dengan peruntukan RM10,380 untuk seorang pelajar.
Ia dijangka memulakan pengajian pada September 2022 secara sepenuh masa selama dua tahun (enam semester) di Sekolah Integriti Penjara Kluang, Johor yang mana pemilihan pelajar berdasarkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia.
Komisioner Jeneral Penjara, Datuk Nordin Muhamad berkata beliau yakin penyediaan pelbagai peluang program pemulihan banduan berunsurkan pendidikan berterusan dan terancang, mampu mempengaruhi perkembangan potensi golongan penghuni untuk kekal, untuk tidak kembali melakukan kesalahan selepas dibebaskan.
“Program ini selaras hasrat Jabatan Penjara untuk menjadikan penjara sebagai Pusat Pembangunan Ketamadunan Manusia dan peluang pembelajaran.
“Ini dapat memberi peluang pendidikan kedua sebagai salah satu langkah persediaan mencari peluang pekerjaan dalam bidang keusahawanan dan dapat meneruskan kelangsungan hidup apabila dibebaskan.
“Jabatan Penjara Malaysia dan UPSI berharap inisiatif ini akan membuka laluan dan peluang kepada ramai dermawan di luar sana untuk menyumbang bagi menjayakan program sebegini pada masa akan datang,” katanya. – Malaysiapost

