BINTANG legenda Rock, Eddie Van Halen meninggal dunia akibat kanser pada usia 65 tahun, semalam.
Berita pemergian bintang tersebut diumumkan anaknya, Wolf Van Halen menerusi hantaran di Twitternya.
“Saya tidak percaya menulis ini tetapi bapa saya, Edward Lodewijk Van Halen meninggal dunia selepas lama bertarung dengan kanser, pagi ini.
“Dia adalah bapa terbaik. Setiap momen yang kami kongsi dengannya sama ada di pentas atau di luar pentas adalah yang terbaik.
“Hati saya sedih dan tidak mungkin luka ini akan pulih. Saya sayangkan kamu,” katanya lagi.
Van Halen dilahirkan di Belanda pada 26 Januari 1955 dan dibesarkan di California.
Beliau juga mengasaskan kumpulan rock dengan abangnya, Alex sekitar tahun 1970-an sebelum popular.
Antara lagu hit mereka yang sehingga kini masih diputarkan adalah Jump, Eruption, Panama, dan Ain’t Talkin ‘Bout Love.
Pada tahun 2019, Van Halen menerima rawatan di hospital akibat kanser yang dihadapinya selama lima tahun.
Mendiang meninggal seorang balu, Janie Liszewski dan seorang anak lelaki. -Malaysiapost

