Stesen TV, produksi perlu ada Jabatan Pematuhan Syariah – Idris

0
3

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad hari ini bertemu pemain industri penyiaran dalam usaha mendidik masyarakat berkenaan isu hiburan yang menjadi kebimbangan sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata, pertemuan tersebut langkah yang baik bagi beberapa kerisauan mengenai aktiviti hiburan tidak menepati garisan Islam dan kerisauan terhadap kecenderungan masyarakat yang tidak dididik dalam berhibur.

Katanya, ia juga sebagai peringatan bersama kepada pemain industri penyiaran tidak hanya melihat kepada keuntungan semata-mata, namun turut menitikberatkan isu morel bagi rakyat Malaysia terutamanya golongan muda.

“Mendengar maklum balas dan pendapat daripada pemain-pemain industri ini, masih ramai yang suka dan mahukan rancangan dan siaran yang mempunyai kandungan berunsur Islamik serta bertepatan dengan syariat agama.

“Karya-karya seni atau program yang cuba menormalisasikan budaya yang bersalahan dengan syariat Islam dan nilai akhlak serta budaya masyarakat negara ini perlu dielakkan sama sekali. Ia mesti ditentang habis-habisan bermula daripada kita semua,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Idris berkata, sememangnya hiburan itu adalah satu fitrah namun ia perlu bertepatan serta berlandaskan agama dan syariat.

Katanya lagi, justeru itu sudah tiba masanya setiap stesen televisyen dah produksi TV mewujudkan Jabatan Pematuhan Syariah untuk menyemak, menapis, memantau semua skrip dan kandungan sebelum disiarkan.

“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sentiasa bekerjasama dengan semua pihak industri dan telah menerbitkan tiga garis panduan untuk rujukan semua pihak.

“JAKIM juga telah menubuhkan Pusat Penyelidikan Hadith yang membuat kajian serta rujukan hadith kepada semua masyarakat. Kita tidak mahu masyarakat terus terjebak dengan penyebaran hadith palsu.

“Semoga pertemuan dan perbincangan ini dapat memberi nafas baru kepada dunia penyiaran negara terutama dalam penerapan nilai-nilai agama dan kandungan yang bertepatan dengan syariat,” katanya.

Pertemuan itu disertai Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM); Kementerian Dalam Negeri (KDN); Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM); The Communications and Multimedia Content Forum of Malaysia (CMCF), stesen-stesen TV dan produksi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here