Bantuan Khas Kewangan RM700 untuk penjawat awam, RM350 pesara

0
2

KERAJAAN hari ini mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM700 bagi anggota perkhidmatan awam Gred 56 ke bawah membabitkan 1.3 juta kakitangan dan RM350 bagi pesara dan veteran kerajaan tidak berpencen.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pembayaran BKK akan dibuat bermula Januari depan.

“Bantuan Khas Kewangan (BKK) Tahun 2023 dibayar kepada anggota perkhidmatan awam Gred 56 ke bawah berjumlah RM700 dan RM350 bagi pesara Kerajaan dan veteran tidak berpencen yang akan diberi pada Januari 2023.

“Sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam yang sentiasa memastikan jentera Kerajaan bergerak dengan berkesan, melaksanakan dasar dan menjayakan setiap aspirasi Kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap di Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-18 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, penjawat awam Gred 11 hingga Gred 56 negara bakal menikmati Bayaran Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) tambahan khas sebanyak RM100 mulai Januari depan.

Katanya, pengumuman itu bakal dimanfaatkan 1.28 juta penjawat awam dengan implikasi kewangan sebanyak RM1.5 bilion.

“Sebagai contoh, sebelum ini kadar KGT bagi gred 11 adalah RM80, maka pada 2023, beliau akan menerima kadar KGT asas sebanyak RM80 dan tambahan khas sebanyak RM100 menjadikan jumlah KGT diterima pada 2023 adalah sebanyak RM180,” ujarnya.

Pengumuman Perdana Menteri itu adalah antara enam inisiatif yang diumumkan hari ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here