Najib berjaya jadikan ‘yang benar tidak benar’ – Dr Mahathir

0
3

TUN Dr Mahathir Mohamad mendakwa satu lagi kejayaan Datuk Seri Najib Razak adalah menjadikan perkara ‘yang benar sebagai tidak benar dan yang tidak benar diterima sebagai benar’.

Bekas Perdana Menteri berkata, kejayaan Najib mencipta persepsi itu sekali gus menukar budaya dan nilai hidup Melayu dalam hal menolak bukti yang jelas dan menerima kenyataan yang tidak berasas.

Dr Mahathir berkata, perkara itu dapat dilihat dalam banyak isu termasuk kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd yang membabitkan Ahli Parlimen Pekan itu.

“Selama empat tahun Najib dibicara di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, berasas dokumentasi dan cek yang didedah berkenaan duit SRC (anak syarikat 1MDB) yang dimasukkan ke dalam akaun Najib dalam Ambank dan dibelanja olehnya kononnya tidak benar.

“Dia tidak tahu akan adanya duit ini. Dia belanja duit tanpa mengetahui adanya duit ini. Jika ada duit ini, ia adalah sumbangan dari Raja Arab. Apa bukti? Tidak perlu,” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini.

Jelas Dr Mahathir lagi, bagi Najib selama empat tahun beliau dibicara dengan puluhan saksi memberi maklumat berhubung kesalahannya berserta dokumen dan bukti, dianggap sebagai sesuatu yang tidak benar.

“Hakim menulis 800 muka surat berkenaan yang didedah oleh saksi, bukti, hasil siasatan. Bagi Najib semua yang dicatit oleh hakim tidak benar. Hakim ada ‘conflict of interest’. Hakimnya berat sebelah.

“Yang benar ialah penafian oleh Najib, oleh anaknya dan peguam upahannya. Sembilan orang hakim, tiga mahkamah, bicara empat tahun, semua tidak betul, fitnah,” katanya.

Menurut Dr Mahathir, bagi Najib semua perkara termasuk bukti, saksi, dokumentasi semua tidak betul, sebaliknya apa yang benar adalah dakwaan peguam upahan dan penafiannya.

“Percaya sahajalah dakwaan Najib. Bukti tidak perlu. Bukti adalah penipuan. Tanya AG (Peguam Negara). Najib tidak salah.

“Ini ialah satu kejayaan Najib. Menjadi yang benar tidak benar dan yang tidak benar diterima sebagai benar,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here