Surat percepat kes Zahid: Siasatan perlu dilakukan – Pemuda PAS

0
3

KETUA Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari menggesa siasatan dilakukan berhubung dakwaan kebocoran dokumen meminta mempercepatkan kes perbicaraan membabitkan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, isu itu perlu dipandang serius kerana ia bukan pertama kali berlaku dan tidak sepatutnya dibiarkan.

Katanya, sekiranya surat itu benar ia dikira satu jenayah dan jika sebaliknya individu atau pihak yang berbuat demikian juga dikira melakukan jenayah.

“Bocor pula dokumen surat yang kononnya mengarahkan kes-kes tertentu dipercepatkan. Tidaklah dapat dipastikan betul atau tidak, tetapi ia bukanlah yang pertama. Sebelum ini penghakiman yang dikatakan ‘draf awal’ pun boleh bocor.

“Apa dah jadi ni? Mereka yang bertanggungjawab di jabatan berkenaan tolonglah bersikap amanah. Apa yang dibocorkan jika benar ia dokumen yang valid ialah satu jenayah. Jika tidak benar, pihak ketiga yang susah payah mewujudkan draf palsu itu juga tetap dikira melakukan jenayah.

“Justeru, siasatan perlu dilakukan, sudah tentu forensik teknologi maklumat jika dilakukan dengan betul akan dijumpai siapa yang bertanggungjawab,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu, tular satu surat yang didakwa dihantar pihak pembelaan kepada hakim bagi mempercepatkan perbicaraan dihadapi Ahmad Zahid.

Dalam satu surat yang dihantar Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob kepada Setiausaha Hakim Datuk Lawrence Sequerah yang dilihat Malaysiapost, pihak pendakwaan meminta kes Ahmad Zahid diutamakan melebihi kes 1MDB.

Menurut surat yang ditandatangani Abdul Malik bertarikh 29 Ogos itu, beliau meminta supaya kes yang berada di peringkat pembelaan itu diselesaikan dengan kadar segera. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here