TULAR satu surat yang didakwa dihantar pihak pembelaan kepada hakim bagi mempercepatkan perbicaraan dihadapi Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam satu surat yang dihantar Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob kepada Setiausaha Hakim Datuk Lawrence Sequerah yang dilihat Malaysiapost, pihak pendakwaan meminta kes Ahmad Zahid diutamakan melebihi kes 1MDB.
Menurut surat yang ditandatangi Abdul Malik bertarikh 29 Ogos itu, beliau meminta supaya kes yang berada di peringkat pembelaan itu diselesaikan dengan kadar segera.
Dalam surat berkenaan, Timbalan Pendakwa Raya berkata beliau telah diarahkan untuk memohon hakim memberi keutamaan terhadap kes itu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Razlan Rafii meminta penjelasan mengenai surat yang tular itu daripada Peguam Negara.
“Saya nak bertanya kepada Pejabat Peguam Negara, apakah keperluan menghantar notis kepada hakim untuk tergesa-gesa melupuskan kes Ahmad Zahid? Apakah motif tersembunyi yang cuba di zahirkan oleh Pejabat Peguam Negara ?
“Kenapa perkara ini tidak berlaku sedemikian bagi kes-kes lain, seperti kes Lim Guan Eng dan lain-lain.
“Saya pohon Peguam Negara Sendiri menjawab sendiri perkara ini kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu Ahmad Zahid hari ini menamakan beberapa ahli politik Pakatan Harapan (PH) yang dibebaskan dari pendakwaan kes mahkamah sedangkan beliau berdepan pendakwaan terpilih kerana enggan akur terhadap desakan mebubarkan Umno dan menyertai Bersatu pada 2018.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu memberitahu demikian ketika pemeriksaan semula oleh peguam, Datuk Ahmad Zaidi Zainal di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Beliau membela diri atas 47 pertuduhan, iaitu 12 kes pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit milik dana Yayasan Akalbudi (YAB).
Sambil menegaskan pendakwaan dikenakan ke atasnya bermotifkan politik kerana enggan tunduk desakan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, Ahmad Zahid menamakan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng.- Malaysiapost

