FILEM aksi Air Force The Movie: Selagi Bernyawa mencipta fenomena apabila merekodkan kutipan RM8 juta dalam tempoh empat hari tayangan.
Penerbit filem aksi itu, Josiah Chieng berkata filem arahan Zulkarnain Azhar dan Frank See itu bakal menemui penonton di Korea Selatan, Jepun dan Taiwan.
“Kejayaan naskhah itu menembusi pasaran antarabangsa adalah pencapaian membanggakan kerana ia secara tidak langsung dapat mengangkat kualiti filem tempatan ke peringkat dunia,” katanya.
Filem itu dipersembahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersama lima syarikat penerbitan iaitu Multimedia Entertainment, Golden Screen Cinemas (GSC), Astro, FXHammer Films dan SixFun Media.
Ia mengisahkan Pasukan Khas Udara (PASKAU) yang terkandas di Namburi selepas kapal terbang TUDM ditembak musuh sebelum misi menyelamat mereka dilancarkan.
Air Force The Movie: Selagi Bernyawa menampilkan barisan pelakon antaranya Datuk Adi Putra, Aiman Hakim Ridza, Nas-T, Sara Ali, Pablo Amirul, Johan As’ari, Luqman Hafidz, Anas Ridzuan, Jack Tan, Iman Corinne, Scha Alyahya dan Carmen Soo. – Malaysiapost

