PM ambil kira semua aspek sebelum bubar Parlimen – Mahdzir

0
2

PERDANA Menteri akan mengambil kira pelbagai aspek untuk dipertimbangkan sebelum membuat keputusan membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurut Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid, ia termasuk soal kestabilan dan usaha pemulihan ekonomi negara untuk membantu meringankan beban rakyat.

“Dalam apa keadaan pun, bila kita nak buat sesuatu keputusan perlu mengambil kira pelbagai aspek.

“Begitu juga dalam soal PRU15 ini, saya fikir Perdana Menteri tentu akan mengambil kira pelbagai faktor atau aspek tertentu sebelum membuat keputusan untuk umumkan tarikh pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Anggota Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Negeri Sembilan di Pusat Konvensyen Casa Lagenda, Paroi, hari ini.

Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, Perdana Menteri pasti akan meneliti keadaan dalam negara sebelum membuat keputusan berhubung tarikh PRU15.

Beliau yakin keputusan itu akan dibuat apabila tiba waktu yang sesuai.

Media semalam melaporkan Ismail Sabri enggan mengulas ketika ditanya spekulasi tarikh PRU15 yang didakwa diawalkan susulan perbincangan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Sabtu lalu.

Sebaliknya, Perdana Menteri meminta semua pihak ‘menunggu’ mengenai tarikh pilihan raya umum itu.

Sementara itu, sejumlah 387 Pengerusi JPKKP bagi Negeri Sembilan dilantik untuk sesi berkuatkuasa 1 Oktober 2021 hingga 30 September 2023.

Manakala 385 orang dilantik sebagai Setiausaha dan 4,001 orang dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa.

Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan sejumlah hampir RM7 juta bagi bayaran elaun Pengerusi, Setiausaha dan Ahli Jawatankuasa JPKKP Negeri Sembilan tahun ini.

Majlis penyerahan watikah pelantikan hari ini turut dihadiri Menteri Kesihatan yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Sembilan, Khairy Jamaluddin; Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Pengerusi RISDA, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here