Ahli politik PH dibebas, saya pula berdepan pendakwaan terpilih – Zahid

0
2
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi bicara hujah akhir kes rasuah Yayasan Akalbudi.

Nahar Tajri

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menamakan beberapa ahli politik Pakatan Harapan (PH) yang dibebaskan dari pendakwaan kes mahkamah sedangkan beliau berdepan pendakwaan terpilih kerana enggan akur terhadap desakan mebubarkan Umno dan menyertai Bersatu pada 2018.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu memberitahu demikian ketika pemeriksaan semula oleh peguam, Datuk Ahmad Zaidi Zainal di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Beliau membela diri atas 47 pertuduhan, iaitu 12 kes pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit milik dana Yayasan Akalbudi (YAB).

Sambil menegaskan pendakwaan dikenakan ke atasnya bermotifkan politik kerana enggan tunduk desakan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, Ahmad Zahid menamakan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng.

Guan Eng kata Ahmad Zahid, ketika itu menghadapi perbicaraan tetapi kesnya digugurkan, begitu juga Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa serta Rafizi Ramli yang dibebaskan pada tahun 2018.

Ahmad Zahid, 69, berkata, selain dirinya kira-kira 20 lagi pemimpin Umno termasuk Datuk Seri Najib Razak, Tengku Adnan Tengku Mansor dan Datuk Seri Ahmad Maslan juga menghadapi situasi sama akibat kegagalan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Yang Arif, saya sedari pada 9 Mei 2018, apabila BN telah gagal memperoleh kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan, maka gabungan parti lain ambil alih dan dalam bulan Jun (2018) laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah dibuat kepada saya,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, keengganannya untuk akur kepada kemahuan Dr Mahathir menjadi antara punca utama beliau menghadapi perbicaraan seperti ini.

Katanya, ugutan diterimanya daripada Dr Mahathir tidak spesifik mengenai perkara berkaitan Yayasan Akalbudi sebaliknya berhubung jawatan dipegangnya dalam parti iaitu menjalankan tugas sebagai Presiden Umno.

“Walaupun Tun menafikan, beliau mengakui dalam beberapa laporan media cetak utama yang memaparkan meminta saya untuk membubarkan Umno.

“Kalau ini bukan pertuduhan bermotifkan politik, saya tidak tahu apakah lagi istilah lain yang digunakan? Yang dituduh ditarik balik (kes) oleh peguam negara ketika itu, manakala individu dari parti yang kalah diheret ke mahkamah untuk dituduh,” katanya di hadapan Hakim Collins Lawrence Sequerah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here