DATUK Seri Najib Razak berkongsi perkembangan terkini dirinya selepas hampir seminggu menjalani hukuman di Penjara Kajang.
Bekas Perdana Menteri itu memaklumkan dirinya berada dalam keadaan sihat dan tenang ketika ini.
“Assalamualaikum. Salam kepada semua. Gina beritahu saya ramai yang bertanya khabar dan keadaan saya.
“Buat masa ini saya dalam keadaan sihat, baik, tenang. Alhamdulillah,” tulisnya di Facebook hari ini.
Najib berkata, beliau juga berpeluang berjumpa peguam serta ahli keluarga mengikut masa yang dibenarkan pihak penjara.
Ujarnya, selain itu beliau bertanya perkembangan isu-isu semasa sambil berbincang mengenai urusan mahkamah.
“Saya juga banyak menggunakan masa saya untuk catit pendapat saya dan serahkan kepada peguam atau keluarga saya untuk dikongsi dengan semua.
“Mungkin akan ada kelewatan sedikit tetapi apa dayanya. Inilah sahaja yang saya dapat buat,” ujarnya.
Minggu lalu Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Najib yang menyaksikan hukuman penjara 12 tahun dan denda sebanyak RM210 juta terhadap bekas Presiden Umno itu berhubung penyelewengan dana SRC International dikekalkan.
Panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimum Tuan Mat sebulat suara menolak rayuan Najib.
Keputusan itu menyaksikan Najib memulakan hukuman penjara selama 12 tahun bermula 23 Ogos lalu. – Malaysiapost

