Azalina beri tanggapan buruk terhadap institusi kehakiman – Pemuda PAS

0
2

KENYATAAN Datuk Seri Azalina Othman Said bahawa setiap Perdana Menteri akan melantik ‘orang dia’ sebagai Peguam Negara boleh memberi tanggapan buruk terhadap institusi kehakiman negara.

Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata kenyataan Ahli Parlimen Pengerang dalam satu majlis Umno kelmarin, membayangkan sistem perundangan negara ini tidak adil kerana dipengaruhi dan dikawal oleh Perdana Menteri.

“Saya memohon untuk berbeza dengan Ahli Parlimen Pengerang yang saya hormati dalam isu lantikan Peguam Negara

“Menyatakan bahawa ‘setiap Perdana Menteri akan lantik AG orang dia’ adalah satu kenyataan yang membayangkan instituti pendakwaan dipengaruhi dan dikawal dengan jelas oleh Perdana Menteri.

“Ketika era pelbagai pembaharuan dari sudut menghidupkan demokrasi sebenar dilakukan kerajaan hari ini, seruan ini kelihatan kembali ke belakang,” katanya di Facebook, hari ini.

Menjelaskan mengenainya, Ahmad Fadhli berkata, langkah paling baik ialah memisahkan fungsi Peguam Negara dengan tugas pendakwaan.

“Ini sebenarnya telah dimulakan perancangan oleh pihak kerajaan ketika Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang).

“Pada ketika kenyataan itu dibuat, menariknya ia juga sebagai menyahut cadangan Ahli Parlimen Pengerang yang ketika itu Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat di mana beliau menuntut sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi pembaharuan Jabatan Peguam Negara (AGC),” katanya.

Ahmad Fadhli turut berkongsi pautan mengenai perkara itu hantaran di Facebooknya.

Bagaimanapun, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mengakui sama ada perancangan pengasingan kuasa itu berjaya atau sebaliknya.

“Hari ini, tidak pasti perancangan itu sudah sampai ke mana, namun ia perlu dihidupkan dan dijalankan dengan serius jika mahu melihat undang-undang dilaksanakan dengan adil dan dilihat adil,” katanya.

Dalam ucapannya itu, Azalina yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menukar Peguam Negara.

Ia susulan pendakwaan kes penyelewengan ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sehingga dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here