TINDAKAN Umno yang mendesak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan segera disifatkan ibarat sedang menggali lubang kubur sendiri.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Datuk Rosol Wahid, berkata Umno merasakan inilah masa yang terbaik diadakan PRU15 sedangkan parti itu tidak menyedari yang mereka akan terjun ke dalam lubang yang digali sendiri.
“Tindakan itu sebenarnya ibarat terjun ke dalam lubang yang digali sendiri. Masih banyak masalah rakyat yang belum diselesaikan oleh kerajaan ketika ini dan tiada jaminan PRU15 akan menyelesaikan semua perkara itu.
“Masalah-masalah ekonomi, harga barang belum selesai, Covid-19 pun sama. Kemudian isu buruh asing, memang banyak masalah. Jadi seolah-olahnya kalau buat (PRU-15) sekarang, saya rasa dia seolah-olah macam gali lubang, terjun sendiri,” katanya kepada media di Langkawi, semalam.
Mengulas lanjut, Rosol berkata, mungkin ada segelintir pemimpin Umno yang memiliki agenda kepentingan sendiri, lantas mendesak PRU15 diadakan segera.
Ahli Parlimen Hulu Terengganu itu berkata, desakan Umno itu dipercayai bagi menyelesaikan isu yang dihadapi Kluster Mahkamah membabitkan pemimpin parti itu.
“Tapi bagi orang yang ada agenda lain dikira ini masa terbaik. Walhal itu bukan terbaik pun. Mungkin lepas pada ini lebih teruk lagi. Tak ada orang tahu.
“Dia ada dua kemungkinan, mungkin lebih baik atau mungkin lebih teruk,” katanya.
Bagaimanapun, Rosol yakin, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob lebih memahami masalah yang dihadapi kerana mempunyai ‘bird’s eye view’ mengenai isu yang melanda negara.
“Pemimpin ini dia tengok macam ‘bird’s eye view’ seperti burung. Dia tengok semua sekali di mana ada lurah, di mana ada bukit, di mana ada lembah dan sebagainya dia tahu.
“Orang lain (hanya) tengok ke atas, jadi tak tahu masalah,” katanya. – Malaysiapost

