MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah menerima laporan akhir Pasukan Petugas Khas Siasatan terhadap dakwaan dalam buku tulisan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.
Beliau berkata, laporan akhir tersebut akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat bagi mendapatkan arahan dan mandat berhubung tindakan susulan yang perlu dilaksanakan.
Katanya, pasukan petugas khas itu mengenal pasti 19 isu penting daripada dakwaan buku itu yang memerlukan perhatian lanjut kerajaan.
Menurutnya, dalam hal itu, sebanyak 19 sesi konsultasi dengan pelbagai pihak berkepentingan yang terdiri daripada agensi kerajaan, bukan kerajaan dan individu.
“Antara lain Pasukan Petugas Khas (PPK) ini telah mengenalpasti 19 isu penting dari buku tersebut yang memerlukan perhatian lanjut pihak kerajaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, PPK Siasatan yang meneliti dakwaaan dalam buku bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ telah dipengerusikan oleh Penasihat Undang-Undang Sarawak dan bekas Peguam Besar Sarawak, Datuk Seri Fong Joo Chung.
“Mesyuarat ini turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Peguam Negara (AGC), dan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO).
“Laporan ini telah disediakan oleh PPK dalam tempoh sembilan bulan iaitu dari Disember 2021 hingga Ogos 2022.
“Satu Laporan Interim telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Pemantauan pada 18 April lalu,” katanya.
Terdahulu, Thommy menerbitkan memoir bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ pada Januari 2021 yang mengundang kritikan banyak pihak.
Ia susulan pendedahan dan dakwaan membabitkan pelbagai isu termasuk pelantikan hakim, campur tangan melampau badan eksekutif dalam sistem kehakiman dan pendakwaan terpilih. – Malaysiapost

