Isu LCS: ‘Dr Abdul Latiff belajar ilmu Anwar, bukan Umno’ – Puad

0
2
PERAK TENGAH 16 JANUARI 2018. Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengadakan sidang media selepas program Jelajah Komuniti Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) di Institut Kemahiran Belia Negara Seri Iskandar. NSTP/MUHAIZAN YAHYA

AHLI Majlis Kerja Tertinggi Umno (MKT), Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi membidas tindakan Rafizi Ramli yang mengheret Umno dalam ‘perang’ antara beliau dengan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Mohd Puad berkata, dakwaan Rafizi bahawa penafian Dr Abdul Latiff berhubung kaitannya dalam isu kapal tempur pesisir (LCS) adalah amalan ‘orang Umno’ sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima.

“Rafizi dakwa penafian Dr Latiff itu adalah taktik biasa dan amalan orang Umno dan bekas Umno. Kenapa kaitkan dengan Umno?

“Sebenarnya itu adalah amalan pemimpin PKR. Mahaguru PKR, (Datuk Seri) Anwar Ibrahim keluar petua, jika buat salah jangan mengaku. ‘Nafi je’. Jangan mengaku. Dr Latiff belajar ilmu Anwar,” katanya menerusi Facebook.

Dalam pada itu, Mohd Puad berkata, cabaran Rafizi untuk menyaman Dr Abdul Latiff berhubung penafian status perkahwinannya adalah kerana mahu menjaga air muka Timbalan Presiden PKR itu semata-mata.

“Dr Latiff jawab, dia tidak ada isteri bernama Zainab Mohd Salleh. Terkedu Rafizi. Rafizi pakar curi maklumat sebab itu dia bersalah kerana isu Bafia.

“Justeru, mustahil Rafizi tidak boleh curi sijil nikah Dr Latiff dengan wanita bernama Zainab Mohd Salleh. Rafizi cabar Dr Latiff saman dia. Itu cabaran untuk jaga air muka Rafizi.

“Patut Rafizi yang saman Dr Latiff kerana tipu status perkahwinannya. Atau buat laporan polis. Laporan polis adalah hobi Rafizi,” katanya.

Baru-baru ini, Dr Abdul Latiff yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, mendakwa Rafizi cuba mengelirukan orang ramai apabila mengaitkannya dengan isu LCS.

Dr Abdul Latiff berkata, tindakan Rafizi itu dapat dilihat melalui laporan audit yang masih di peringkat draf.

Beliau juga mendakwa laporan audit ‘sebenar’ yang sudah ditandatangani firma audit tidak menyebut Zainab Mohd Salleh sebagai isteri keduanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here