KEJAYAAN Aaron Chia-Soh Wooi Yik memahat nama sebagai pemain badminton pertama Malaysia merangkul kejuaraan kejohanan dunia pastinya mengundang rasa pelik peminat badminton tempatan.
Malaysia yang secara tradisinya antara empat kuasa besar sukan badminton selain Indonesia, China dan Denmark terpaksa menanti 45 tahun untuk melihat pemainnya bergelar juara.
Perkara ini turut dikongsi legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei menerusi hantaran Facebook miliknya.
“Sejak tahun 1977, Malaysia telah pun beberapa kali nyaris-nyaris merangkul emas tetapi tidak kesampaian.
“Peliknya, 11 negara sudah pun bergelar juara tetapi bukan Malaysia. Percaya tak Sweden, USA dan Singapura dah pernah juara, tapi bukan negara kita,” katanya.
Bagaimanapun bekas pemain perseorangan nombor satu dunia itu bangga dengan pencapaian yang diraih Aaron-Wooi Yik yang berjaya menamatkan kemarau panjang Malaysia sekali gus hadiah terbaik sempena sambutan hari kemerdekaan negara tahun ini.
“Tapi hari ini, sejarah telahpun dibetulkan Aaron Chia Teng Fong dan Soh Wooi Yik mempamerkan aksi yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia . Terima kasih. Malaysia… we are the champion!
“Terima kasih Aaron-Wooi Yik, ini adalah hadiah terbaik untuk Malaysia yang menyambut hari kemerdekaan bulan ini,” katanya.
Terdahulu, pasangan bergu negara telah menewaskan bergu Indonesia Muhammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19,21-14 sekali gus merangkul kejuaraan kejohanan dunia yang berlangsung di Tokyo, Jepun. -Malaysiapost

