Biar musuh jangka kita tempang, tapi Umno tidak lemah yang disangka

0
1

Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri

APABILA singa semakin dilukai.
Apabila pokok ditebang.
Apabila lidi menjadi penyapu.

Saban tahun selama belasan tahun selaku wakil parti, menghadiiri himpunan Umno di PWTC, tidak pernah hati begitu tersentuh seperti himpunan khas semalam

Entah mengapa kali ini hati begitu terasa pelbagai perasaan – kecewa, sedih dan membakar semangat.

Ya, himpunan semalam tersangat penting. Himpunan semalam adalah manifestasi semangat Umno yang tidak padam walaupun diasak demi asakan sejak lepas PRU14.

Himpunan semalam adalah kemuncak asakan itu, kami akan bangun lebih kuat dengan setiap asakan.

Apabila singa yang luka semakin dilukai ia akan bingkas bangun lebih garang tanpa mempedulikan kecederaan lagi.

Seperti kata Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pokok bernaung dari panas, pokok berlindung dari hujan telah ditebang maka Umno perlu terus melangkah lebih kuat.

Biar musuh menjangka kita tempang, tetapi hakikatnya tempang itu adalah kekuatan.

Bukanlah kemaruk kuasa, Namun menyelami pelbagai kepincangan yang berlaku di negara ini sejak Mei 2018 lalu, Umno segenapnya perlu kembali pulihstabilkan pentadbiran, politik, ekonomi, pendidikan, institusi kehakiman dan sebagainya, demi kestabilan dan kemakmuran tanah bertuah ini.

Paling jelas, kita akur dengan keputusan institusi kehakiman dan menghormati konsep ‘separation of powers’. Meskipun pelbagai keraguan timbul dan seolah bertentangan dengan prinsip ‘rule of law’, Umno tetap tidak patah semangat, malah perjuangan kami terus membara untuk mempersiapkan jentera, fokus pada PRU15.

Walaupun ada suara sumbang berkata kita mencampuri urusan mahkamah, prejudis keputusan hakim, namun sebagai peguam saya tegaskan keputusan hakim, sama ada bersalah atau tidak bersalah akan sentiasa menjadi topik perdebatan.

Ulasan akademik keputusan mahkamah adalah bebas disuarakan, dan itulah yang berlaku sekarang.

Jelas jua semalam kesatuan orang Umno tetap utuh, kesedihan turut diratap bersama, penderitaan sama dirasai. Tetapi jangan menjangka kita berpecah kerana apabila lidi dicantum menjadi penyapu ia tidak mungkin dipatahkan.

Rasionalnya, Umno kini telah belajar dari sejarah, matang dan bersedia untuk kembali membina sebuah negara bangsa. Berdasarkan pengalaman, kebolehupayaan dan keadaan Umno yang terkini, Marilah bersolidariti dan bersungguhlah berjuang.

Hari ini perjuangan Umno bukan lagi seperti 1946 dengan nostalgia mengagalkan Malayan Union dan pertahankan Raja-Raja Melayu dan hak tanah air kita.

Tapi perjuangan kita adalah mempertahankan diri kita sendiri dan parti yang kita dan orang Melayu kasihkan ini.

Sempena Kemerdekaan ini, ayuhlah kita buang yang keruh, kita ambil yang jernih. Usah kita persiakan pengorbanan Datuk Seri Najib Razak, usah kita persiakan harapan majoriti rakyat pada Umno.

Tidak lagi menoleh ke belakang, ayuh kita pastikan mandat dikembalikan kepada Umno/BN pada PRU15 nanti, demi masa depan negara yang lebih terjamin, dipasak kestabilan demi mencipta kemakmuran.

Penulis adalah Pengarah Komunikasi Pemuda Umno.

(Penulisan ini disiar tanpa suntingan dan tidak semestinya mewakili pendirian Malaysiapost)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here