PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan ucapan tahniah kepada beregu badminton negara Aaron Chia dan Soh Wooi Yik yang merangkul juara Kejohanan Dunia Jepun 2022, hari ini.
Beliau berkata, kemenangan itu merupakan hadiah buat negara sempena Hari Kebangsaan 2022 yang disambut 31 Ogos ini.
“Satu lakaran sejarah baharu buat sukan badminton negara!
“Tahniah Aaron Chia dan Soh Wooi Yik kerana muncul sebagai pemain badminton negara yang pertama memenangi Kejohanan Badminton Dunia 2022.
“Ini merupakan hadiah yang cukup bermakna buat negara sempena Hari Kebangsaan 2022,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Terdahulu, Aaron Chia dan Wooi Yik melakar sejarah sebagai pemain badminton pertama Malaysia merangkul gelaran Kejohanan Dunia Jepun 2022.
Dalam aksi final yang berlangsung petang tadi, pasangan bergu negara itu mempamerkan corak permainan tenang namun tangkas untuk menewaskan bergu dari Indonesia Muhammad Ahsan-Hendra Setiawan.
Ketangkasan Aaron-Wooi Yik tidak memberi peluang kepada bergu Indonesia dengan kemenangan straight set 21-19,21-14 sekali gus menamatkan penantian 45 tahun rakyat Malaysia. – Malaysiapost

