AHLI Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohammadin Ketapi melakar sejarah baharu politik Malaysia apabila menjadi wakil rakyat pertama menjadi ahli kepada tiga parti berbeza dalam satu penggal.
Setelah genap dua bulan menjadi wakil rakyat Bebas, bekas Menteri Pelancongan itu mengumumkan dirinya kini menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Menurutnya, sinergi PBM yang menggabungkan elemen Malaysia Timur dan Semenanjung Malaysia menjadi faktor utama mempengaruhinya menyertai parti itu.
“Saya memilih mereka selepas meneliti perlembagaan parti yang bertujuan memperjuangkan hak Borneo di bawah Perjanjian Malaysia 1963.
“Dengan perjuangan ini, kami dari Sabah akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PBM dan Parti Kuasa Rakyat untuk merealisasikan matlamat itu,” katanya dipetik Utusan Malaysia, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohammadin berkata, beliau menyerahkan keputusan kepada kepimpinan PBM sama ada akan mencalonkan beliau mahupun tidak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Untuk bertanding atau tidak, saya tidak boleh cakap sebab bergantung kepada keadaan. Kalau keadaan kesihatan saya tidak baik, mungkin tidak bertanding. Kita akan lihat apabila tiba masanya,” katanya.
Oktober lalu, Mohammadin yang memenangi kerusinya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 atas tiket Parti Warisan Sabah telah bertindak keluar dari parti itu untuk menyertai Bersatu.
Namun pada 28 Jun tahun ini, Mohammadin mengumumkan bahawa beliau sekali lagi keluar daripada Bersatu selepas tujuh bulan, menganggotainya. – Malaysiapost

