Gesa PRU kerana takut hukuman mahkamah mainan pihak lawan, dakwa Zahid

0
1

PRESIDEN Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan propaganda kononnya beliau meminta Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan ekoran takut berdepan pengadilan mahkamah adalah fitnah dan permainan persepsi lawan politik.

Katanya, sedari awal beliau menzahirkan sebuah keazaman yang nyata di mahkamah, walhal pihak berpropaganda selepas PRU14 melepaskan diri dan rakan subahat daripada pengadilan.

“Sekali lagi saya menegaskan di hadapan ribuan ahli Umno di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur bahawa saya tidak pernah takut dan gentar untuk berdepan perbicaraan mahkamah. 

“Sekali kali juga saya menegaskan dengan penuh yakin bahawa diri ini tetap istiqamah akan membersihkan nama melalui lunas undang-undang yang sah, namun wajiblah menerusi perbicaraan yang adil,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Ahmad Zahid berkata, begitu juga dengan pemimpin Umno yang bertukar parti gara-gara mengelak berdepan pendakwaan politik, tanpa rasa malu berbicara mengenai ketakutan.

“Maka usah mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. Kesimpulannya mereka langsung tiada `moral standing’ apatah lagi maruah malah tidak layak berkata tentang kes mahkamah yang dikenakan terhadap saya.

“Saya fikir mereka yang sebenarnya berada dalam amat ketakutan ketika ini. Mereka yang sedang takutkan bayang-bayang sendiri. Takut balasan akan bakal menimpa disebabkan perbuatan fitnah mereka,” ujarnya.

Tegas beliau, pemimpin Umno yang bertukar parti sebenarnya dalam ketakutan kerana bimbang dihadapkan ke mahkamah akibat kezaliman yang mungkin akan dibalas selepas PRU15.

“Sebab itu mereka bersungguh-sungguh mahu menghalang PRU-15 daripada diadakan dengan pelbagai putar belit kerana mereka sendiri meyakini pegangan kuasa mereka bakal berakhir kerana ditolak oleh pengundi.

 “Nasihat saya kepada mereka usahlah terlalu cemas. PRU-15 adalah sebuah proses demokrasi penting untuk memulangkan mandat kepada rakyat bagi mengembalikan kemakmuran di bumi Malaysia. 

“Bukan sebuah platform untuk melunaskan dendam politik seperti yang mereka lakukan pada PRU14. Seperti saya katakan saya tidak berdendam, sentiasa memaafkan, namun sama sekali tidak pernah lupa,” katanya.

Mengulas berkenaan Datuk Seri Najib Razak yang kini menjalani hukuman penjara,  Ahmad Zahid berkata bekas Perdana Menteri itu telah berusaha sehabis baik bersama pasukan guamannya.

Katanya, perjuangan tersebut bagaimanapun tersekat kerana berdepan kesulitan yang telah diketahui umum.

“Mungkin Najib Razak telah terhalang, tetapi beliau belum tewas kerana perjuangannya untuk menegakkan kebenaran dan melawan kebatilan masih membara di sanubari rakyat terutama lebih 3.3 juta ahli Umno,” katanya.  – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here