ANAK kepada Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa berharap bapanya yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang dapat menyaksikan sokongan daripada Umno ketika sesi Taklimat Khas Presiden, semalam.
“Ia adalah detik yang tidak akan saya dan keluarga saya lupakan.
“Saya hanya berharap Daddy berada di sana untuk menyaksikan sokongan dan kasih sayang yang mencurah-curah daripada parti dan orang yang sangat dia sayangi,” tulisnya dalam satu hantaran di Instagram, hari ini.
Nooryana Najwa turut mengucapkan terima kasih kepada semua ahli Umno dan penyokong setia ‘Bossku’ yang hadir di Pusat Dagangan Dunia (WTC) semalam.
Katanya, dia berharap dapat menunjukkan gambar dan video ketika majlis itu berlangsung kepada bapanya, minggu hadapan.
“Dia akan sangat tersentuh dan ia akan menaikkan semangatnya untuk berjuang. Anda tidak keseorangan Daddy.
“Ingat kata akhir Bossku ‘perjuangan harus diteruskan’,” katanya.
23 Ogos lalu, Najib dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International berjumlah RM42 juta. – Malaysiapost

