Ambil tindakan undang-undang ke atas Abdul Hadi – Guan Eng

0
3

PENGERUSI DAP, Lim Guan Eng menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Tan Sri Abdul Hadi Awang yang didakwa memgeluarkan kenyataan berbaur rasis kepada orang bukan Islam.

Gesaan tersebut berhubung kait dengan kenyataan Presiden PAS itu mendakwa golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera dikatakan kumpulan majoriti menjadi perosak politik dan ekonomi negara.

Beliau berkata, dakwaan Abdul Hadi tidak berasas, berniat memecah belahkan dan ekstrimis kepada orang bukan Islam di negara ini.

“Di samping itu, bukan sahaja Kabinet malah tiada seorang Menteri pun, termasuk Perdana Menteri, mendukung konsep Keluarga Malaysia dengan menolak Abdul Hadi kerana dakwaan yang tidak berasas, memecahbelahkan, rasis dan ekstremis beliau.

“Anggota Kabinet bukan Bumiputera dan bukan Islam telah mengecewakan banyak pihak dengan sikap berdiam diri mereka.

“Dengan tidak berani meminta Kabinet mengambil pendirian berprinsip yang betul terhadap ucapan kebencian Hadi, Menteri-menteri daripada MCA, MIC, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ini membiarkan, menyemarakkan dan membenarkan permusuhan dan kebencian Hadi terhadap orang bukan Bumiputera dan bukan Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Guan Eng berkata, sikap berdiam diri Menteri-menteri bukan Islam yang berterusan juga menjadikan mereka sama-sama bertanggungjawab terhadap rasisme dan ekstremisme oleh PAS.

Sebelum ini, Abdul Hadi dilaporkan berkata golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera dikatakan kumpulan majoriti menyumbang terbesar masalah politik dan ekonomi.

Beliau juga memberi perbandingan melawan rasuah dengan usaha mencegah ‘penyakit denggi’.

Katanya, mencegah denggi bukan sekadar merawat pesakit dan membunuh nyamuknya, tetapi juga bertindak terhadap takungan air yang membiakkan nyamuk dan manusia yang tidak menjaga kebersihan.

“Begitulah juga dengan usaha menangani penyakit rasuah, ia wajib dilakukan secara holistik supaya tidak menjadi wabak apabila diambil tindakan yang tidak menyeluruh sehingga ke akar umbinya. Khususnya, terhadap mereka yang menjadi punca rasuah kerana mengejar harta secara haram.

“Sehinggakan, dalam kalangan mereka itulah yang menguasai ekonomi negara lalu menggunakannya bagi merosakkan politik, urusan pentadbiran dan kehakiman.

“Malah, mereka juga golongan yang paling besar merosakkan politik dan ekonomi negara, majoritinya daripada kalangan bukan Islam dan bukan Bumiputera,” kata Abdul hadi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here