‘Kekalkan Ketua Hakim, AG dipilih pihak lawan idealis tak bertempat’ – Puad

0
2

AHLI Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa tindakan mengekalkan Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara yang dipilih ‘pihak lawan’ sebagai sikap idealis tidak bertempat.

Tanpa merujuk kepada mana-mana individu, Mohd Puad berkata, seorang pemimpin perlu bersikap realistik dan jangan hanya berlakon menjadi idealistik.

“Bila Pakatan Harapan (PH) berkuasa, habis Ketua Kampung kena tukar. Ahli Majlis diganti baru. Pelawat hospital pun kena tukar.

“Bila Barisan Nasional (BN) berkuasa, memang wajar diganti lain. Mana boleh dikekalkan,” katanya dalam hantaran Facebook.

Beliau juga memberi contoh pentadbiran Kerajaan DAP Pulau Pinang yang turut menukar semua pengerusi masjid dan surau ketika berkuasa tanpa dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

“Maka menukar Ketua Hakim dan AG yang dipilih oleh lawan bukan kerja hodoh. Tetapi jika mereka kekal, itu memang hodoh. Idealis tidak bertempat,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan beberapa sumber mendakwa bahawa ada pihak dalam Umno meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya menukar Ketua Hakim Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun.

Tengku Maimun dilantik sebagai ketua hakim ketika pemerintahan Pakatan Harapan, sementara Idrus dilantik oleh Kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Semalam, Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman menegur Ismail Sabri atas pelantikan peguam negara.

Azalina yang juga Penasihat Khas Perdana Menteri berkata, kuasa peguam negara adalah sangat besar dan ‘tidak boleh dipersoalkan’.

“Sesiapa yang jadi perdana menteri akan melantik ‘orang dia’ untuk jadi Peguam Negara,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here