Hanya semangat kebersamaan pacu Umno julang kejayaan hadapi PRU15

0
2

HANYA dengan semangat kebersamaan akan membawa Umno menjulang kejayaan dalam berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu, berkata sesi Taklimat Khas Presiden Umno petang semalam serta Mesyuarat MKT di Menara Dato Onn malam tadi, membuktikan kekuatan Umno mencari titik muafakat secara musyawarah.

“Alhamdulillah, dalam banyak perkara, inilah kekuatan Umno, inilah tradisi kita, mencari titik muafakat dengan bermusyawarah.

“(Umno) bukan sekadar mendengar suara pimpinan tertinggi tetapi (turut)mendasari juga denyut nadi akar umbi,” katanya menerusi hantaran di Facebook, malam tadi.

Dalam pada itu, Reezal Merican berkata, Umno perlu merapatkan saf dan memperkasa semangat kebersamaan untuk menghadapi PRU15.

“Menuju detik gendang perang itu dipalu, solidariti keluarga besar Umno pastinya dituntut, seluruh jentera parti perlu seiring mengorak langkah, kukuhkan ikatan, hanya dengan semangat kebersamaan akan membawa kita menjulang kejayaan,” katanya.

Terdahulu, Mesyuarat MKT Umno malam tadi dilaporkan berlangsung ‘tenang’ meskipun sedikit beremosi ketika sesi taklimat khas Presiden yang berlangsung petang semalam.

Difahamkan, mesyuarat itu membincangkan solidariti bagi memperkukuhkan parti dalam menghadapi PRU15.

Mesyuarat itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang juga Naib Presiden parti. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here