AHLI Majlis Tertinggi Umno Datuk Mohd Razlan Rafii menyifatkan demokrasi negara berada di ‘kuburan’ apabila semua pihak khususnya pembangkang menolak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk diadakan segera sekali gus seperti mengkhianati kuasa rakyat.
Beliau berkata, rakyat Malaysia kini dihidangkan dengan politik jijik sebaik sahaja Barisan Nasional (BN) kalah pada PRU14.
“Bermula, dengan pembelian Ahli Parlimen dan Ahli Politik diketuai oleh Bersatu, semasa itu Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, di kala itu, semua Ketua Parti PH, DAP, PKR dan Amanah diam sahaja walaupun mereka tahu Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) mahu kuatkan parti beliau.
“Sebaik sahaja langkah Shereton, DAP, PKR dan Amanah memaki hamun serta menuduh Tan Sri Muhyddin Yassin mewujudkan Kerajaan Pintu Belakang, kerajaan Tebuk Atap dan pelbagai lagi tuduhan. Mereka menuntut untuk mandat baru dipulangkan kepada rakyat bagi laluan pilihan raya,” katanya menerusi Facebook.
Mohd Razlan berkata, manakala Muhyiddin melalui Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pula melaksanakan Darurat untuk mewujudkan kestabilan politik dan memastikan pandemik Covid-19 dapat diselesaikan.
“Setelah darurat tamat, Perdana Menteri baru dilantik, ianya adalah atas sebab Covid belum selesai dan pilihan raya tidak sesuai dilakukan atas satu sebab, Covid masih menganas.
“Namun hari ini, Covid telah selesai, apakah momokan yang dibuat oleh Anwar mengatakan pilihan raya tidak diperlukan sekarang? Adakah boleh dikatakan Kerajaan hari ini disokong oleh Anwar dan PH? Sekira begitu, saya cadangkan Anwar dan rakan, terus berkempen untuk kerajaan hari ini dan membuat sokongan terbuka kepada Kerajaan Keluarga Malaysia.
“Kepada Muhyiddin dan Bersatu mahu kekal selama mungkin, ini tidak pelik, kerana kehidupan ahli politik orang Muhyiddin adalah berlandaskan Kuasa, mereka tidak boleh hidup tanpa kuasa, objektif Ahli Parlimen Bersatu untuk menjadi Menteri dan jawatan dalam kerajaan,” katanya.
Tegasnya, rakyat sudah jelas melihat kelakuan hipokrit pemimpin yang tidak mahukan pilihan raya dilakukan sekarang.
“Kepada Bersatu yang memegang jawatan, mereka memberi alasan kononnya ada banyak perkara tidak selesai, ekonomi negara dan pelbagai lagi, teringat janji Bersatu, mereka berjanji kepada Rakyat akan melakukan pilihan raya sebaik selesai Covid-19.
“Pemikiran jumud politik sahaja yang tidak mahu memberikan mandat semula kepada rakyat secepat yang muhgkin.
“Pembangkang beralasan sebab mereka tidak sedia, mereka menunggu masa rakyat mengalami kesusahan dan akan marah kerajaan justeru mereka terus meracuni rakyat untuk mendapatkan sokongan, mereka mahu menggunakan kesusahan rakyat untuk mendapat undi,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berpendapat kerajaan hari ini adalah sementara sekali gus menuntut pilihan raya perlu diadakan secepat mungkin.
“Tidak terlewat walau sehari. melanjutkan usia kerajaan ini bermakna kita mengkhianati kuasa rakyat,” katanya. – Malaysiapost

