Ben Ibrahim
EMPAT termasuk dua warga emas maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderan di Kilometer 135.7, Lebuh raya Pantai Timur (LPT) menghala Kuantan, Pahang, awal pagi tadi.
Difahamkan kemalangan jam 3 pagi itu berpunca apabila sebuah lori kontena terbabas sebelum merempuh tiga lagi kenderaan yang berada di laluan kecemasan.
Pegawai Perhubungan Awam Bomba Pahang, Zulfadli Zakaria, berkata lori kontena dari arah ibu negara menghala ke Kuantan itu dipercayai gagal dikawal sebelum terbabas ke sebelah kiri laluan lebuh raya berkenaan.
“Lori (kontena) itu melanggar sebuah trak tunda, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora dan Proton Waja.
“Ketika kejadian, Proton Exora yang mengalami kerosakan sedang diangkut ke trak tunda terbabit.
“Akibat rempuhan itu, (Proton) Exora terhumban ke dalam gaung sedalam kira-kira 40 kaki,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Zulfadli berkata, Proton Waja yang berada berdekatan lokasi kemalangan itu turut mengalami kerosakan.
Katanya, tiga mangsa maut adalah warga emas lelaki dan wanita bersama seorang remaja yang menaiki Proton Exora dan seorang lelaki dipercayai operator trak tunda.
“Seramai 13 lagi mangsa mengalami kecederaan akibat kemalangan itu dan mereka sudah diberikan rawatan awal oleh petugas kesihatan sebelum dihantar ke hospital berhampiran bagi pemeriksaan susulan,” katanya.
Beliau berkata, tiga jentera bersama sembilan pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh terbabit dalam operasi itu. – Malaysiapost

