BEKAS Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah menolak keperluan untuk membenarkan penanaman kanabis atau pokok ganja di negara ini bagi tujuan perubatan.
Ahli Parlimen Lenggong itu, berkata sekiranya ia benar-benar bermanfaat untuk bidang perubatan adalah lebih wajar sekiranya ubat-ubatan berasaskan bahan berkenaan hanya diimport ke Malaysia.
“Usah cipta masalah. Import saja ubat berkaitannya. Tiada keperluan ianya (pokok ganja) ditanam di Malaysia.
“Kalau untuk tujuan perubatan cukup sekadar kita import ubat ubatan berkaitan sahaja,” katanya dalam hantaran ringkas di Facebook.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu berkata, pendirian tegas itu disuarakannya kerana pada masa ini dadah adalah musuh nombor satu negara yang perlu diperangi.
“Usah kita mencipta lebih banyak masalah kepada negara ini dengan membenarkan penanamannya di Malaysia.
“Apapun saya menyokong untuk tujuan perubatan. Namun tidak perlu ditanam disini. Cukuplah import ubatnya sahaja. Kerana dadahmasih musuh nombor satu negara kita,” katanya.
Semalam, media melaporkan, kerajaan akan mengambil pendirian berhubung penggunaan kanabis dalam bidang perubatan sebelum akhir tahun ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang mengakhiri lawatan kerja bilateral kesihatan ke Bangkok semalam, berkata Thailand banyak berkongsi pandangan dan pengalaman sepanjang lawatannya itu berhubung penggunaan kanabis untuk tujuan perubatan dan penanamannya.
“Saya yakin kita akan dapat kaji pengalaman Thailand untuk disesuaikan dengan konteks Malaysia nanti apabila kita bakal membuat keputusan sama ada membenarkan atau tidak penggunaan kanabis untuk tujuan perubatan.
“Jika dibenarkan, kita akan menentukan dalam kerangka apa dan penggunaan apa yang akan dibenarkan,” katanya. – Malaysiapost

