SEORANG penghantar barang cedera di tangan kanan kiri dan kaki kanan akibat ditetak oleh seorang lelaki yang dikenalinya dalam kejadian di depan sebuah kedai di Taman Mulia Jaya, Ampang semalam.
Kejadian jam 7.10 malam itu turut tular di media sosial melalui satu video berdurasi 26 saat yang memaparkan mangsa dikejar oleh lelaki berkenaan sebelum terjatuh atas jalan raya dan ditetak dengan parang.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata mangsa adalah seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun dan kejadian berlaku ketika mangsa bersama seorang rakan sedang berbual di hadapan sebuah kedai.
“Mangsa lihat suspek memegang parang panjang lalu yang kemudian suspek bertindak mengejarnya sebelum mangsa ditetak dengan parang.
“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian lengan kiri dan kaki kanan serta telah mendapatkan rawatan di Hospital Ampang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati punca kejadian dipercayai disebabkan mangsa menuntut hutang bayaran kerja dari suspek dan suspek tidak berpuas hati akan tuntutan berkenaan.
“Susulan itu pada jam 11 malam tadi sepasukan polis telah membuat tangkapan terhadap seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang bekerja sebagai buruj di Taman Dagang, Ampang bagi membantu siasatan.
“Semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau dan polis turut merampas sebilah parang yang dipercayai digunakan semasa kejadian,” katanya.
Menurutnya, permohonan reman dibuat hari ini dan kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebarang atau dengan mana-mana dua daripada hukuman berkenaan. – Malaysiapost
Kredit foto: Polis Ampang Jaya

