Uncle Kentang sedia untuk bersara

0
2

AKTIVIS masyarakat Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang bersedia bersara daripada semua aktiviti sukarelawan sekiranya ada pihak yang tampil menawarkan diri untuk mengambil alih tanggungjawab yang digalasnya.

Menurutnya, ia bagi memuaskan hati pihak yang sering mengecam dan mendakwanya ‘menunggang’ kerja amal bagi mengaut keuntungan.

“Sekiranya ada individu yang sudi dan boleh menawarkan dirinya secara sukarela untuk menjaga semua kes yang memohon bantuan dari kita, dan berani mempamerkan nombor telefon untuk orang ramai hubungi setiap hari, saya akan bersara.

“Saya akan berhenti dari membantu orang serta merta dan akan menolak semua permohonan bantuan untuk menyangkal tomahan bahawa kami mengaut keuntungan atas nama kebajikan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, segala kes dan permohonan bantuan yang diterimanya akan diserahkan kepada pihak yang sanggup tampil mengambil alih tanggungjawabnya.

“Saya harap individu tersebut dapat bantu orang ramai dan beri pertolongan kepada mereka yang memerlukan tanpa kira bangsa, kaum, kerakyatan, agama dan darjat.

“Kalau anda individu tersebut, sila hubungi saya di 018 2683999 atau buat pengumuman secara terbuka dan buat majlis besar besaran untuk umum kepada rakyat Malaysia,” katanya yang turut menawarkan untuk menanggung kos majlis berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here